KUCHING: Sarawak bercadang untuk menggunakan sumber tenaga biojisim di loji janakuasa Sejingkat dan Balingian bagi menggantikan penggunaan arang batu ketika ini.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, beliau akan berbincang dengan pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) berhubung cadangan itu selepas lawatannya ke Loji Janakuasa Drax, United Kingdom baru-baru ini.
Katanya, penggantian arang batu kepada biojisim dapat membantu meningkatkan penjanaan tenaga lebih daripada 500 megawatt yang dijana ketika ini di kedua-dua loji berkenaan selain ia lebih bersih dan tidak mencemarkan alam sekitar.
“Di Drax, ia menggunakan arang batu dan sekarang ini mereka tidak menggunakan lagi arang batu dan digantikan dengan biomass.
“Pelaburannya tidak banyak sebab sistemnya serupa. Ini akan kita gunakan di Sejingkat dan Balingian, bahkan kita boleh jana lebih daripada 500 megawatt.
“Kita hanya memperkuatkan boiler dia dan juga dari sudut mesinnya yang boleh menjana lebih 500 megawatt,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Air Sedunia “Water For Peace” Peringkat Kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching di sini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr. Sim Hui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dif-dif kenamaan lain.
Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak menyambut baik dan bersedia mempertimbangan cadangan untuk memberi status penduduk tetap kepada orang luar yang mahu menetap di negeri ini.
Bagaimanapun tegasnya, Sarawak hanya memerlukan mereka yang boleh menyumbang idea-idea baharu yang membantu memacu ekonomi serta menjana pekerjaan.
“Sarawak macam ‘permata’ dah, sekarang ini prestasi kita sudah memintas Johor. Kita sudah berada di kedudukan tiga teratas dan mungkin akan memintas Selangor.
“Sebab itu ramai orang yang mahu berpindah ke Sarawak, namun kita mahu mereka yang ada idea baharu dan cadangannya baik,” katanya.